Peluang terakhir pemain baharu Australia pikat Popovic

Peluang terakhir pemain baharu Australia pikat Popovic

Melbourne: Ketua jurulatih Australia, Tony Popovic menggesa pemain baharu dalam skuadnya merebut peluang dengan aksi meyakinkan ketika menentang Curacao sebelum beliau memuktamadkan senarai pemain ke Piala Dunia.

Perlawanan persahabatan di Stadium Melbourne Rectangular esok adalah aksi pemanas badan terakhir Socceroos di laman sendiri sebelum kejohanan bermula dari 11 Jun hingga 19 Julai, selepas menang tipis 1-0 ke atas Cameroon di Sydney, Jumaat lalu.

Walaupun kemenangan ke atas Cameroon tidak banyak meredakan kebimbangan terhadap ketajaman serangan Australia, bek kanan Jacob Italiano dan pertahanan tengah muda berusia 18 tahun Lucas Herrington mencuri perhatian dengan aksi tenang di benteng pertahanan.

Popovic berharap pemain lain turut dapat meningkatkan peluang mereka untuk dipilih dengan prestasi baik menentang Curacao, negara paling kecil layak ke Piala Dunia yang akan dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

“Sudah tentu kami mahu melihat beberapa pemain lain yang berada dalam kem ini, yang kini sudah menyesuaikan diri dengan persekitaran, dan diharapkan mereka mendapat minit permainan esok,” kata Popovic kepada media.

“Ia adalah Piala Dunia, dan sesiapa yang berada di sini sekarang merasakan mereka sangat hampir, ini kem terakhir sebelum kami ke Piala Dunia untuk persiapan.

“Jadi sebagai pemain, anda perlu percaya anda berada dalam perancangan. Kemudian mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik dan membuktikan mereka layak berada dalam skuad ke sana.”

Antara yang mungkin mendapat peluang ialah penyerang kelahiran Croatia yang belum membuat penampilan antarabangsa, Ante Suto, yang beraksi bersama kelab Scotland, Hibernian, dan baru pertama kali menjejakkan kaki ke Australia dalam kem ini.

Pemain tengah Cardiff City, Alex Robertson yang bapanya dan datuknya pernah mewakili Australia, juga berpeluang menambah koleksi dua kap antarabangsa dengan penampilan pertama di bawah Popovic selepas kali terakhir beraksi di era Graham Arnold pada 2023.

Socceroos bakal berdepan cabaran berbeza daripada Curacao, pasukan Caribbean di ranking ke-82 dunia yang mempunyai pengaruh Belanda dan bertekad bangkit selepas tewas 0-2 kepada China di Sydney minggu lalu.

“Negara kecil seperti itu, ia satu pencapaian luar biasa,” kata Popovic mengenai negara berpenduduk sekitar 156,000 orang itu.

“Dua negara yang layak ke Piala Dunia bertemu, kami mengambilnya dengan sangat serius.”

Selepas menentang Curacao, Australia akan ke kem latihan di Florida sebelum bertemu Mexico dalam perlawanan persahabatan pada 30 Mei di Stadium Rose Bowl, Los Angeles.

Australia diundi bersama Amerika Syarikat, Paraguay dan Turkiye atau Kosovo dalam Kumpulan D Piala Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top