
Kecederaan buku lali dialami Zii Jia belum pulih sepenuhnya.
FOTO: Bernama
STATUS penyertaan Lee Zii Jia pada Piala Thomas 2026 hujung bulan ini bergantung sepenuhnya kepada tahap kecergasan semasa.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi bayangan jelas hanya pemain yang mencapai tahap 100 peratus akan disenaraikan bagi menggalas cabaran negara di Horsens, Denmark.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, situasi itu meletakkan Zii Jia dalam keadaan tidak pasti sekiranya kecederaan buku lali dialaminya belum pulih sepenuhnya.
“Jika dia belum benar-benar pulih, kita tidak boleh ambil risiko. Kita perlukan pemain yang berada pada tahap terbaik kerana kejohanan ini sangat penting,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Menurutnya, perkembangan Zii Jia kini dipantau rapi oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen yang sentiasa berhubung dengan jurulatih pemain itu, Liew Daren.
Tarikh akhir penyerahan senarai pemain pada 11 April menjadi penentu sama ada bekas juara Seluruh England itu sempat kembali mencapai tahap kecergasan optimum.
“Zii Jia sebelum ini tidak menjalani latihan kerana kecederaan. Difahamkan dia mungkin kembali ke ABM esok (Sabtu), namun kita masih belum pasti keadaannya,” katanya.
Dalam masa sama, Chong Wei berpuas hati dengan perkembangan pemain lain seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang latihan.
Beliau turut berharap Zii Jia mampu pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat, namun menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada pemain yang benar-benar bersedia untuk menggalas cabaran negara.



