redzuan.muharam@hmetro.com.my
Jitra: Pengalaman menjadi satu-satunya guru Melayu yang mengajar Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang West Country Barat dekat Kajang, Selangor sangat berharga buat lelaki ini sejak bergelar pendidik tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Syamir Aiman Mohd Alwi terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan guru dan anak muridnya selepas ditukarkan ke sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Hitam, Kedah pada awal bulan ini.
Kisah Syamir Aiman mendapat perhatian warganet selepas berkongsi videonya diraikan murid dan warga sekolah pada hari terakhir perkhidmatannya di sekolah berkenaan.
Menerusi video itu, kelihatan Syamir Aiman memeluk murid buat kali terakhir dengan ada antara mereka menangis dan memberi hadiah buatnya.
Berkongsi kisahnya, Syamir Aiman berkata, dia ditugaskan mengajar di Ladang West Country Barat pada 2023 dan mula menimba pengalaman sebagai guru di sekolah berkenaan.
Lantaran itu, Syamir Aiman mengakui sekolah berkenaan amat dekat di hatinya kerana bukan hanya rapat dengan guru malah murid yang majoritinya berbangsa India.
“Video yang saya muat naik di TikTok dirakam pada 2 April lalu ketika hari terakhir bertugas di sekolah berkenaan. Tradisi sekolah adalah mengadakan lambaian kasih iaitu murid berdiri koridor kelas dan tangga ketika berjalan dengan diiringi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sebagai wakil pentadbir.
“Saya berjumpa murid seorang demi seorang dan beri mereka gula-gula serta bagi pesanan terakhir. Mulanya okay tapi waktu bersalaman dengan murid, ada yang menangis waktu peluk saya.
“Hari itu sangat emosi buat saya namun cuba menahan sebak dan dapat macam-macam hadiah antaranya mainan kecil serta surat, tak sangka sebenarnya bila dihargai sampai begitu sekali,” katanya kepada Harian Metro.
Menceritakan pengalamannya di sekolah berkenaan, Syamir Aiman berkata, dia ditugaskan mengajar ke sekolah berkenaan kerana ada seorang murid beragama Islam yang belajar di Tahun Empat waktu itu.
Meskipun hanya mengajar seorang murid, bagi subjek Pendidikan Islam, Syamir Aiman berkata, tugasan itu tidak mudah kerana masalah komunikasi memandangkan murid dikenali Firdaus lebih banyak bertutur dalam bahasa Tamil dengan keluarganya di rumah.
“Jadi komunikasi antara saya dengan Firdaus awalnya agak terbatas dan mencabar nak beri kefahaman kepadanya.
“Selain Pendidikan Islam, saya juga ditugaskan mengajar empat subjek lain iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani.
“Di situlah saya berpeluang mengajar murid India dan belajar cakap Tamil… walaupun ada tak fasih cakap bahasa Melayu, mereka tunjuk kasih sayang dengan peluk saya.
“Hubungan saya dengan murid memang rapat kerana ada yang berkongsi cerita. Sama juga dengan rakan guru kerana waktu permulaan, saya satu-satunya ‘hero’ dan cikgu lelaki kerana 12 guru lain wanita sebelum seorang guru PK HEM lelaki melapor diri ke sekolah itu dua tahun lalu,” katanya.
Menurut Syamir Aiman, biarpun sudah berpindah sekolah, hubungannya dengan murid dan guru SJKT Ladang West Country Barat tidak akan terputus.
“Saya doakan semua murid saya berjaya dan sekarang pun masih berhubung dengan mereka terutama Firdaus kerana masih mengajarnya mengaji al-Quran secara dalam talian.
“Saya juga puas kerana nampak peningkatan Firdaus yang semakin lancar membaca al-Quran malah sempat membawanya menyertai pertandingan azan dan tilawah al-Quran sebelum ini.
“Saya anggap peluang berpindah ke sekolah baharu ini sebagai rezeki daripada Allah SWT untuk tinggal bersama isteri (Nurul Athirah Zakaria, 25,) kerana sebelum ini kami berjauhan,” katanya yang akan meneruskan legasi ibu, Rashihah Ali, 56, dan bapa, Mohd Alwi Shabudin, 57, dalam bidang perguruan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




