Pelumba jet ski ditemukan lemas

Pelumba jet ski ditemukan lemas

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pelumba jet ski yang terjatuh ketika menguji jentera berkenaan di Sungai Terengganu dekat Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam, ditemukan lemas jam 9.28 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, mayat ditemukan terapung di permukaan air kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Mayat ditemui pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan baik dan masih berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mayat kemudian dibawa naik ke tebing untuk proses pengecaman sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat.

Terdahulu media melaporkan seorang pelumba jet ski dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menguji jentera berkenaan di Sungai Terengganu dekat TTI jam 8 pagi, semalam.

Abdullah Abdul Mubin, 44, dikatakan menguji jentera berkenaan sendirian sebelum terjatuh selepas membuat beberapa pusingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top