Pemain akademi Southampton FC milik JDT

KUALA LUMPUR – Pemain muda berdarah kacukan Malaysia dan England, Stuart Wilkin mengumumkan beliau telah menandatangani kontrak dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Dia telah pun membuat penampilan sulung bersama pasukan ‘feeder club’, JDT II ketika menentang skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier pada 4 April lalu.

“Sangat gembira akhirnya menyertai JDT. Satu penghormatan apabila diberi peluang untuk mewakili kelab yang hebat ini. Terima kasih kepada Junior Eldstal dan Scott Ollerenshaw kerana membantu ia menjadi kenyataan,” katanya melalui laman twitter.

Pemain yang berusia 22 tahun itu telah tiba di Malaysia sejak bulan Oktober tahun lalu dan dia juga sempat menjalani latihan dengan skuad utama JDT.

Dua tahun lalu, Wilkin pernah menyatakan minat untuk menyarung jersi pasukan bawah 23 tahun Malaysia ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Beraksi di posisi sayap, dia merupakan produk daripada akademi Southampton FC. Kemudian, dia melanjutkan pelajaran dan menyertai pasukan Missouri State Bears dalam saingan Liga Universiti Amerika Syarikat.

Ketika mewakili skuad remaja Southampton FC, beliau membuat 20 penampilan dalam saingan Liga Belia England musim 2015/2016 dan satu penampilan dalam saingan Piala FA Belia.

Wilkin juga berjaya menjaringkan 4 gol serta 12 assists pada musim tersebut. – MalaysiaGazette