Augusta, Georgia: Pemain golf amatur Thailand berusia 21 tahun, Pongsapak Laopakdee yang lebih dikenali sebagai Fifa, bersedia untuk permulaan bersejarah pada acara Masters ke-90, Khamis ini.
Fifa yang juga pelajar tahun akhir di Arizona State University, akan menjadi pemain amatur Thailand pertama yang beraksi di Augusta National apabila dia memulakan pusingan pembukaan di padang terkenal itu.
“Ini satu penghormatan besar, itu pasti, menjadi pemain amatur Thailand pertama yang bermain di Masters. Sentiasa menyenangkan apabila anda bermain untuk sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri,” katanya.
“Peminat Thailand sangat baik kepada saya. Sangat menyenangkan melihat betapa mereka mengambil berat dan menyokong saya.”
Fifa memenangi Asia-Pacific Amateur di Dubai, Oktober lalu untuk menempah tempat dalam medan Masters minggu ini, dengan membuat birdie di dua lubang terakhir permainan regulasi dan ketiga-tiga lubang playoff untuk layak ke Augusta.
“Saya hanya menyanyi di fairway ketika playoff dan cuba kekal dalam masa sekarang, tidak terlalu memikirkan apa yang berlaku di sekitar saya, cuma kekal tenang,” katanya.
“Semuanya berjalan dengan sempurna.”
Fifa berterima kasih kepada bapanya kerana memberi nama samaran yang sama dengan badan induk bola sepak dunia, FIFA, yang akan menganjurkan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada tahun ini.
“Bapa saya peminat bola sepak tegar dan dia memilih antara Fifa dari Piala Dunia FIFA dan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) dari Liga Juara-Juara Eropah UEFA,” kata Laopakdee.
“Nasib baik, ia berakhir dengan Fifa.”
Fifa kagum dengan layanan di Augusta National dengan menyifatkan “mereka melayan kami seperti raja” termasuk tempatnya di bilik persalinan.
“Menakjubkan berjalan ke bilik persalinan dan loker saya berada di antara Tiger (Woods) dan Bryson (DeChambeau). Itu banyak untuk dinikmati. Saya semestinya mengambil gambar,” kata Laopakdee.
“Menakjubkan apabila semua pemain yang selalu anda tonton di televisyen, kini anda bermain dalam acara sama dengan mereka di salah satu kejohanan paling berprestij di salah satu padang golf paling berprestij di dunia. Anda tidak boleh meminta apa-apa yang lebih baik.”
Fifa menjalani sesi latihan pada Januari bersama Jon Rahm, pemenang Masters 2023, dan bintang Arizona State yang lain.
“Ia satu penghormatan mempunyai pemain sebegitu di sini, berlatih bersama anda dan memberi sebarang panduan,” kata Fifa.
Ini membantu Fifa kekal tenang semasa pusingan latihan rasmi pertamanya di Masters.
“Saya agak tenang dan terkawal hari ini di padang. Saya tidak merasa terlalu gugup kerana cuba untuk berseronok dan menjadi diri sendiri,” katanya.
“Sudah tentu di tee pertama pada Khamis, anda akan rasa gugup dan itulah yang anda rasai bermain Masters buat kali pertama.
“Saya hanya akan menikmati pengalaman itu. Saya tidak mahu terlalu memikirkan dan cuma keluar untuk berseronok.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




