Pemain badminton negara mohon maaf kegagalan di Terbuka Malaysia

Pemain badminton negara mohon maaf kegagalan di Terbuka Malaysia

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memohon maaf kepada penaja dan peminat semalam, turut tampil melakukan perkara sama di media sosial ialah beberapa pemain kebangsaan termasuk perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan tonggak beregu campuran, Chen Tang Jie di atas kegagalan di Terbuka Malaysia.

Menurut Tze Yong yang terpaksa menarik diri di pusingan pertama akibat kecederaan otot tulang belakang, dia meminta maaf kepada penaja kami dan semua penyokong yang memberi sokongan.

“Saya ingin meminta maaf disebabkan keputusan tidak memuaskan di Terbuka Malaysia. Saya akan terus memberi fokus kepada proses pemulihan dan memberikan persembahan lebih baik untuk kejohanan seterusnya,” katanya dalam media sosial, Instagram.

Sementara itu, Tang Jie meminta maaf kerana tidak dapat memberikan prestasi yang baik di Terbuka Malaysia.

“Saya turut memohon maaf kepada semua pihak sponsor (penaja dan juga kepada peminat badminton Malaysia. Saya berjanji untuk terus berjuang dan menyajikan persembahan yang lebih baik pada kejohanan seterusnya. Terima kasih kepada semua,” katanya dalam laman sosial, Facebook.

Tang Jie yang bergandingan dengan Toh Ee Wei terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 22-24, 14-21.

Pada Terbuka Malaysia kali ini hanya beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya melangkah jauh sehingga ke suku akhir.

Semalam Rexy memohon maaf dan mengambil tanggungjawab di atas kegagalan barisan pemain kebangsaan di Terbuka Malaysia 2024.

Menurutnya, beliau memahami kekecewaan yang dialami peminat dan penaja di atas kegagalan ini tetapi menegaskan akan berusaha lebih baik lagi bagi menghadapi kejohanan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top