Polis mengesahkan bahawa pemain bola sepak amatur yang ditahan kerana mengacukan objek tajam turut disyaki terlibat dalam insiden membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata lelaki berusia 22 tahun itu akan didakwa atas kedua-dua kesalahan di Mahkamah Kuala Lumpur esok.
Dia ini ada ‘wanted’ (dalam senarai dikehendaki) satu kes, kes baling molotov cocktail di depan pusat hiburan, inilah orangnya. (Suspek) ini pun akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, suspek orang sama.
Polis berjaya mengenal pasti suspek melalui siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dan proses pengecaman.
“Suspek ada dua rekod jenayah lampau,”- Polis…
Sebelum ini, rakaman CCTV tular di media sosial memaparkan empat individu menaiki dua motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada 9 Mei lalu.
Bagi kes mengacukan objek tajam, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa dan keselamatan orang lain.
Kejadian tersebut berlaku pada 4 Ogos, apabila suspek mengacukan kerambit ke arah pemain lain dalam satu perselisihan faham semasa perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre.
BACA: Pemain Bola Sepak Acu Kerambit Akan Didakwa
Suspek dan teman wanitanya yang berusia 21 tahun ditahan oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.