London : Pemain dram kumpulan rock legenda dunia, Iron Maiden iaitu Nicko McBrain mengumumkan persaraannya dari konsert jelajah Iron Maiden.
Konsert Iron Maiden di Allianz Parque, Sao Paulo, Brazil semalam adalah persembahan terakhir pemain dram berusia 72 tahun itu bersama kumpulan dari London itu.
“Selepas mengambil kira banyak pertimbangan, saya dengan rasa sedih dan gembira mengumumkan keputusan untuk berundur dari kesibukan dan gaya hidup konsert jelajah sejak sekian lama. Saya juga mendoakan Iron Maiden terus maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di laman web dan Facebook Iron Maiden.
McBrain yang menyertai Iron Maiden pada 1982 menggantikan Clive Burr terus sinonim dengan kumpulan itu dan bermain dalam setiap album Iron Maiden sejak Piece Of Mind pada 1983 hingga hari ini.
“Apa yang saya boleh katakan. Mengadakan konsert jelajah bersama Iron Maiden sejak 42 tahun lalu adalah satu perjalanan yang luar biasa. Kepada semua peminat setia saya, anda menjadikannya semuanya berbaloi dan saya sayangkan anda,” katanya.
Bagaimanapun, McBrain hanya bersara dari terbabit dengan konsert jelajah Iron Maiden, namun dia masih kekal sebagai anggota kumpulan itu.
Dia mengesahkan akan meneruskan pembabitannya dalam beberapa projek Iron Maiden selepas ini. Dalam masa sama akan terus fokus dengan beberapa perniagaannya.
Keputusan McBrain itu dibuat selepas dia berhadapan dengan masalah kesihatan baru-baru ini, termasuk diserang angin ahmar tahun lalu yang membuatkan dia separuh lumpuh.
Namun, selepas menjalani beberapa siri rawatan, McBrain kembali mengadakan persembahan bersama Iron Maiden untuk konsert jelajah dunia terbaru ini.
Iron Maiden : The Future Past adalah konsert jelajah dunia mereka yang bermula September lalu. Konsert di Sao Paulo semalam dihadiri lebih 90,000 peminat setia mereka.
Selain McBrain, Iron Maiden turut dianggotai Steve Harris (bass), Bruce Dickinson (penyanyi), Dave Murray (gitar), Adrian Smith (gitar) dan Janick Gers (gitar).
© New Straits Times Press (M) Bhd



