London: Thomas Tuchel menegaskan tiada pemain England yang boleh berasa selamat untuk ke Piala Dunia, dengan aksi persahabatan bulan ini dianggap peluang terakhir untuk membuktikan kemampuan.
Pengendali England itu mengumumkan skuad 35 pemain bagi perlawanan menentang Uruguay dan Jepun di Wembley.
Menurutnya, kem latihan Mac ini menjadi penentu terakhir sebelum pemilihan skuad ke Piala Dunia.
“Ia peluang terakhir untuk pemain bersaing mendapatkan tempat. Tiada siapa yang sudah pasti berada dalam pesawat,” katanya.
Tuchel turut memanggil semula pemain Manchester United, Harry Maguire dan Kobbie Mainoo selepas prestasi cemerlang kelab mereka.
Pemain tengah Real Madrid, Jude Bellingham turut disenaraikan walaupun masih dalam proses pemulihan kecederaan.
Dalam masa sama, beberapa nama besar seperti Trent Alexander Arnold, Luke Shaw dan Ollie Watkins tidak dipilih.
Tuchel juga memberi peluang pertama kepada pemain tengah Everton, James Garner.
Beberapa pemain utama seperti Declan Rice, Harry Kane dan Bukayo Saka pula akan direhatkan untuk satu perlawanan bagi mengurus tahap kecergasan.
Tuchel turut menjelaskan keputusan tidak memanggil pemain tertentu adalah berdasarkan pertimbangan taktikal, sambil menegaskan peluang ke Piala Dunia masih terbuka.
England kini dalam fasa akhir persiapan menjelang kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




