London: Pengurus West Ham United, Nuno Espirito Santo, berkata para pemain kini keliru mengenai tahap sentuhan yang dibenarkan ketika bertahan dalam situasi sepakan penjuru, sambil menegaskan penjelasan lebih terperinci perlu dilakukan pengadil perlawanan.
West Ham yang bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berjaya mendahului dua kali menentang Brighton & Hove Albion di laman sendiri, namun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.
Keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya sepakan penalti kedua, Danny Welbeck tidak mengenai palang gol.
Welbeck menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum diberi peluang menghadiahkan pendahuluan kepada Brighton tiga minit kemudian, susulan insiden yang disifatkan seperti terjahan ragbi oleh Lucas Paqueta ke atas Lewis Dunk di dalam kotak penalti.
Insiden tolak menolak dan menarik baju ketika sepakan penjuru kini menjadi kebiasaan sejak beberapa musim kebelakangan ini, namun jarang dihukum pengadil.
Tindakan kasar Paqueta itu hampir pasti dianggap sebagai kekasaran dan mungkin mengundang kad, namun Espirito Santo mempersoalkan sama ada keputusan penalti itu wajar diberikan.
“Saya bercakap dengan pengadil kerana banyak situasi musim ini yang kadang-kadang tidak dinilai atau ditiup, jadi ia mengelirukan pemain. Sejauh mana sentuhan dibenarkan atau tidak,” kata jurulatih dari Portugal itu.
“Kami sampai ke satu tahap di mana sukar untuk pemain menilai had yang dibenarkan. Saya kecewa dibolosi menerusi situasi bola mati kerana pada ketika itu perlawanan berada dalam kawalan kami.
“Pengadil perlu lebih jelas. Kami pernah mengadakan pertemuan dengan PGMOL pada awal musim. Kini apabila musim sudah separuh, mereka sepatutnya melakukannya sekali lagi untuk berbincang dengan pemain,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan West Ham terus gagal meraih kemenangan dalam lapan perlawanan liga berturut-turut dan kekal di tangga ketiga tercorot.
© New Straits Times Press (M) Bhd




