Melbourne: Pemain yang meninggalkan jelajah golf utama dunia demi mengejar tawaran lumayan LIV Golf kini berdepan realiti berbeza apabila perlu mencari jalan kembali ke pentas yang pernah mereka tinggalkan susulan kejatuhan kejohanan berkenaan.
Kejatuhan LIV Golf menyebabkan puluhan pemain berdepan masa depan tidak menentu, dengan bekas juara utama seperti Jon Rahm, Brooks Koepka dan Patrick Reed dijangka mempunyai peluang lebih cerah berbanding pemain yang kurang menyerlah untuk kembali menyertai jelajah utama.
Selain mereka, pemain Australia, Lucas Herbert dan wakil England, Tyrrell Hatton turut memberi isyarat meninggalkan liga itu, manakala Cameron Smith, Dustin Johnson serta Bryson DeChambeau masih belum mengumumkan keputusan mengenai masa depan masing-masing.
Bagaimanapun, usaha untuk kembali menyertai Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) dan Jelajah DP World bukan semudah yang disangka kerana kedua-dua organisasi itu tidak terikat untuk mengembalikan status serta keistimewaan keahlian mereka sebelum ini.
Malah, pemfailan kebankrapan LIV menyenaraikan 14 pemain semasa dan bekas pemain sebagai antara 30 pemiutang tidak bercagar terbesar dengan tuntutan berjumlah kira-kira AS$45.5 juta (RM191 juta).
Jumlah itu termasuk bayaran tertunggak sekitar AS$5.7 juta (RM23.9 juta) kepada DeChambeau dan AS$4.8 juta (RM20.2 juta) kepada Smith, walaupun angka berkenaan hanya sebahagian kecil daripada pendapatan serta bonus penyertaan yang diterima mereka sepanjang bersama LIV.
Laluan kembali ke Jelajah PGA AS juga tidak menjanjikan layanan istimewa apabila ketua jelajah itu, Brian Rolapp sebelum ini menegaskan tindakan pemain meninggalkan organisasi berkenaan meninggalkan kesan yang sukar dipadamkan.
“Masih ada kesan daripada perkara itu dan ia perlu diambil kira,” katanya pada Jun lalu.
Berbeza dengan Jelajah PGA AS, DP World Tour dilihat lebih terbuka untuk mempertimbangkan permohonan keahlian serta jemputan kejohanan kepada pemain yang mahu kembali, walaupun denda tertunggak dan tindakan disiplin boleh merumitkan proses berkenaan.
Pakar media sukan, Colin Smith berkata, pemain ternama seperti Rahm mempunyai nilai pasaran lebih tinggi ketika berunding untuk mendapatkan semula tempat mereka, sekali gus membuka kemungkinan wujudnya perbezaan layanan antara pemain bintang dan pemain kurang dikenali.
“Nama seperti Jon Rahm mempunyai nilai. Sesetengah pemain seperti Cam Smith mungkin mempunyai nilai lebih rendah selepas prestasi mereka merosot ketika beraksi dalam jelajah LIV,” katanya.
Pemain yang sudah melepasi zaman kemuncak pula mungkin terpaksa membuktikan kemampuan menerusi kejohanan kelayakan atau kembali beraksi dalam jelajah pembangunan sebelum berpeluang menembusi semula pentas utama.
Malah, bekas pemain nombor satu dunia dari Australia, Adam Scott berpandangan pemain yang meninggalkan jelajah utama perlu membuktikan kelayakan semula dan tidak seharusnya diberikan laluan mudah untuk kembali.
“Mereka meninggalkan jelajah itu dan melepaskan keistimewaan berkenaan. Saya fikir mereka perlu melayakkan diri semula berdasarkan merit. Itu sesuatu yang logik dan wajar,” katanya ketika Kejohanan Abu Dhabi, acara penutup musim Jelajah DP World.
© New Straits Times Press (M) Bhd




