Hanoi: Pemain nombor satu dunia pickleball, Anna Leigh Waters akan membuat penampilan antarabangsa bulan depan pada Jelajah Asia PPA, Piala Hanoi di Vietnam, menurut penganjur ketika sukan raket itu terus mengembangkan pasaran globalnya.
Anna yang menduduki ranking nombor satu di Jelajah PPA Carvana bagi kategori perseorangan, beregu dan beregu campuran dijadualkan bersaing dalam beregu wanita bersama Anna Bright dan beregu campuran bersama Ben Johns pada kejohanan bermula 1-5 April itu.
Acara yang diadakan di My Dinh Indoor Athletics Arena ini akan menganugerahkan 1,000 mata ranking kepada juara sebagai sebahagian daripada sistem ranking global Persatuan Pickleball Profesional (PPA).
Pickleball adalah sukan raket yang menggabungkan elemen tenis, tenis meja dan badminton.
“Saya menyaksikan pertumbuhan sukan ini di Amerika Syarikat (AS), dan saya berasa amat terhormat menjadi sebahagian daripada acara Jelajah PPA Asia pertama di Hanoi,” kata Anna dalam satu kenyataan, semalam.
Selepas kejohanan, atlet AS itu akan bertolak ke Ho Chi Minh City pada 6-7 April untuk menganjurkan klinik dan acara pameran bersama pengeluar peralatan, Franklin Sports.
Anna muncul sebagai salah seorang figura paling dikenali dalam pickleball sepanjang peningkatan populariti sukan itu di AS dan di seluruh dunia.
Dia menjadi profesional pada usia 12 tahun dan telah menguasai litar profesional, membantu meningkatkan minat terhadap pickleball ketika ia berkembang secara antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




