Pemain NSFC pamer kebangkitan luar biasa- K Nanthakumar

Pemain NSFC pamer kebangkitan luar biasa- K Nanthakumar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih Negeri Sembilan FC, K Nanthakumar ternyata gembira dan berpuas hati apabila barisan anak buahnya melakar kejutan dengan melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Walaupun berhadapan laluan berliku selepas tewas 1-2 pada aksi pertama menentang PDRM FC, namun barisan pemain Negeri Sembilan seolah mengamuk sebelum melakar kemenangan 3-0 dalam aksi timbal balik itu sekali gus menang dengan agregat 4-2, semalam.

Nanthakumar berkata, beliau tidak pernah putus harapan terhadap barisan anak buahnya untuk menempah slot ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

“Kita tewas pada perlawanan pertama namun saya katakan pada pemain bahawa peluang masih ada dan mereka perlu buktikan kemampuan pada perlawanan kedua.

“Pemain beraksi seperti yang dirancang dengan setiap peluang dimanfaatkan sebaik mungkin menerusi jaringan gol. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pemain,” katanya.

Pada aksi berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini, pasukan kendalian Nanthakumar itu turun dengan semangat baru selepas tewas tipis 1-2 di tangan skuad ‘Sang Saka Biru’ pada aksi pertama tempoh hari.

Sementara itu, penolong jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil mengakui kesilapan individu menghukum pasukan hingga gagal untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

“Pada awal permainan, kita beraksi dengan baik dengan mampu menghalang setiap serangan dan turut mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan,” kata Eddy.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top