Pemain Rangers kungfu kepala lawan

Glasgow: Bintang Rangers, Kemar Roofe dibuang padang selepas tendangan ala kungfunya menyebabkan penjaga gol Slavia Prague, Ondrej Kolar berlumuran darah di muka pagi tadi.

Penyerang Light Blues itu masuk menggantikan Scott Arfield pada minit ke-55 di Ibrox tetapi dilayangkan kad merah hanya enam minit selepas itu apabila bertembung dengan Kolar.

Ulang tayang menunjukkan bintang Rangers itu hanya memandang bola dan kakinya ke muka Kolar tanpa disengajakan.

Bagaimanapun, Roofe kemudiannya dibuang padang kerana membahayakan lawan manakala Kolar diusung keluar dengan kepala berbalut.

Imej menunjukkan penjaga gol itu mengalami luka sepanjang tiga inci di dahinya selain luka di bawah mata.

KOLAR diusung keluar dengan kepala berbalut.

Bagaimanapun, dia kembali ke bangku simpanan dengan muka bertampal bagi menyaksikan baki permainan yang dimenangi pasukannya 2-0 sekaligus menyingkirkan Rangers dengan agregat 3-1.

Slavia memasukkan penjaga gol muda berusia 18 tahun, Matyas Vagner menggantikan Kolar.

Pada malam mengecewakan buat skuad Steven Gerrard, Roofe bukan satu-satunya pemain Rangers yang dibuang padang. Leon Balogun turut mengalami nasib sama selepas dilayang kad kuning kedua.