Pemain 'skuad kedua' ada potensi – Vicente

Pemain 'skuad kedua' ada potensi – Vicente

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun hanya mempertaruhkan ‘skuad kedua’ menerusi gabungan pemain muda dan baharu, namun rata-rata pasukan ini memiliki potensi untuk ‘terbang lebih tinggi’ selepas ini.

Ia diakui pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente yang mengakui ia satu keistimewaan apabila dapat bekerja bersama pemain yang jelas memiliki banyak potensi untuk terus berkembang menjadi lebih baik.

“Saya gembira dapat bekerja dengan mereka dalam perjalanan yang tidak akan pernah ada penghujungnya bagi bola sepak Malaysia. Ini adalah antara hadiah buat saya walaupun kadang kala kita menang dan dapat meraikannya, kadang kala kita tewas.

“Apa yang penting, hubungan saya dengan pemain dan mereka sentiasa menghormati saya. Saya harap mereka dapat mengingati saya sebagai jurulatih dan individu yang baik yang sentiasa membantu mereka,” katanya.

Tugasan menentang Singapura adalah perlawanan terakhir buat Vicente yang akan meninggalkan pasukan selepas dua tahun melatih skuad negara bermula sebagai penolong jurulatih kepada Kim Pan Gon pada 2022 lalu.

Antara prospek baharu yang boleh dipertaruhkan oleh barisan kejurulatihan baharu di bawah kendalian Peter Cklamovski dari Australia yang akan memulakan tugasnya pada 1 Januari ini adalah seperti Jimmay Raymond, Fazrul Amir, Declan Lambert dan Haziq Nazdli.

Pemain muda pula menyaksikan nama-nama seperti Fergus Tierney, Haqimi Azim, Daryl Sham, Harith Haiqal antara permata baharu buat skuad Harimau Malaya selepas ini.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, beliau mahu menghabiskan cuti perayaan Hari Krismas di negara ini sebelum menguruskan pertukaran sekolah anak-anaknya untuk membawa keluarganya pulang ke Sepanyol.

“Malaysia akan menjadi pasukan kebangsaan kegemaran saya selepas ini. Jadi saya akan terus menyokong mereka dan saya percaya pasukan ini mampu mencapai apa yang mereka inginkan.

“Saya gembira dengan pengalaman di sini meskipun terpaksa berhijrah beribu batu jauhnya dan saya mendapat ramai kawan yang akan saya kenang selamanya.

“Banyak memori manis bersama skuad kebangsaan, hanya satu memori yang buruk apabila saya terlepas perlawanan menentang Oman kerana berada di hospital dan itu menyebabkan pelbagai khabar angin timbul,” kata Vicente.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top