Pemain tempatan perlu bersaing rebut tempat – Reduan

Pemain tempatan perlu bersaing rebut tempat – Reduan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Reduan Abdullah mengingatkan pemain tempatan supaya tidak ‘goyang kaki’ ketika kem latihan pusat skuad kebangsaan, sebaliknya perlu berusaha keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Menurut bekas pemain era 1970-an itu, walaupun pemain tempatan ketinggalan dari segi fizikal berbanding pemain warisan dan naturalisasi, mereka perlu memiliki mentaliti kental bagi membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi.

“Fasiliti sudah lengkap, jurulatih dan kepakaran pun ada. Jadi, pemain tempatan sekarang hanya perlu fokus bermain bola dan tingkatkan mentaliti supaya mampu bersaing,” katanya.

Reduan memaklumkan daripada 38 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat, hanya 22 pemain adalah anak jati sepenuhnya, manakala selebihnya terdiri daripada pemain warisan dan naturalisasi yang beraksi di luar negara.

“Situasi ini menunjukkan reputasi anak tempatan semakin goyah. Tetapi saya mahu mereka jangan cepat mengalah, sebaliknya ambil peluang yang ada dan buktikan kemampuan sebenar.

“Aksi menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini adalah medan terbaik untuk pemain tempatan menunjukkan taring.

“Ini masanya untuk mereka bangkit dan tunjukkan semangat juang tinggi kerana kita semua mahu tamatkan badi lebih 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam,” katanya.

Pada masa sama, Reduan mahu pemain mengambil inspirasi daripada kemenangan terakhir 4-2 ke atas Vietnam pada separuh akhir Piala AFF 2014 dengan mempamerkan semangat juang tinggi.

“Pemain kena ada jiwa kental dan tidak mudah putus asa. Ini bukan hanya soal kemampuan fizikal, tetapi kekuatan mental yang menentukan segala-galanya,” katanya.

Skuad negara kini memiliki misi untuk menamatkan badi 11 tahun apabila menentang Vietnam pada aksi getir kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 10 Jun depan.

Kali terakhir skuad negara menang ke atas Vietnam ketika aksi separuh akhir Piala Asean 2014 yang ketika itu dibimbing Datuk Dollah Salleh dengan keputusan 4-2.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top