sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kehadiran beberapa pemain warisan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) dilihat mampu memberi kelebihan buat pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk memantau lebih dekat dan merencanakan strategi lebih ampuh khususnya bagi Kelayakan Piala Asia 2027.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, jika sebelum ini mereka beraksi di liga luar negara, ia menyukarkan sedikit untuk barisan jurulatih negara melihat persembahan mereka secara dekat.
Namun, kali ini Cklamovski sudah mempunyai lebih banyak masa mengikuti secara dekat perkembangan mereka sama ada layak berada di dalam skuad kendaliannya atau sebaliknya.
Perkara itu juga dilihat mampu membuka saingan lebih sihat antara pemain warisan dan pemain tempatan untuk menunjukkan persembahan terbaik bagi mendapatkan kepercayaan jurulatih.
“Saya fikir kehadiran pemain warisan ini memberi kelebihan besar kepada Peter kerana pemain-pemain ini berada di depan matanya. Mereka sentiasa berada dalam radar dan mudah dipantau secara dekat dari semasa ke semasa.
“Dengan bilangan pemain warisan yang semakin ramai dalam liga, sudah tentu Peter mempunyai lebih banyak pilihan untuk menilai dan memilih hanya yang terbaik untuk mewakili negara,” katanya.
Untuk makluman, tiga tonggak utama Harimau Makaya yang mempunyai darah warisan sudah menyertai JDT iaitu Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal.
Terdahulu, Yusoff Mahadi menyeru peminat untuk melihat secara positif kehadiran pemain warisan ke dalam pasukan Harimau Selatan itu memandangkan JDT kini beraksi di peringkat tertinggi.
Perkara itu secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada pasukan negara juga untuk mendapatkan barisan pemain yang benar-benar layak menyarung jersi kehangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd