bhnews@bh.com.my
IPOH: Seorang pemaju bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas pertuduhan menipu berkaitan penjualan saham syarikat bernilai RM400,000, empat tahun lalu.
Tertuduh, Chin Yoon Seong, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohammad Afifi Mohammad Deen.
Mengikut kertas pertuduhan, Yoon Seong didakwa menipu Lee Wan How, 36, dengan memperdayakannya melalui penjualan saham syarikat dan mendorong untuk menyerahkan harta iaitu wang tunai berjumlah RM400,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Times Square Ipoh, Jalan Raja Dr Nazrin Shah pada 6 Januari 2017.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam bela Ram Kumar.
Afiqah Izzati menawarkan jaminan RM10,000, bagaimanapun Ram memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




