am@hmetro.com.my
Seremban: Penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terutama dalam bas ekspres dan persiaran bukan semata-mata peraturan, tetapi antara langkah mengurangkan risiko lebih serius ketika berlaku kemalangan
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana antara punca kecederaan parah dan kemalangan maut membabitkan bas ekspres dan bas persiaran disebabkan kegagalan memakai tali pinggang keledar.
“Apabila berlaku kemalangan, kadang-kadang penumpang itu tercampak keluar kerana tak pakai tali pinggang.
“Ini antara punca yang menyebabkan kemalangan maut ataupun kematian dalam kemalangan bas. Jadi mesti dilaksanakan untuk penumpang bas, malah penumpang kereta pun peraturan itu sudah ada.
“Peraturan sedia ada memang mewajibkan pemakaian tali pinggang untuk penumpang di belakang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Meraikan Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Cemerlang 2024 bersama 38 pelajar, hari ini.
Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan JPJ akan menjalankan operasi pemantauan pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas ekspres dan bas persiaran dengan menyamar sebagai penumpang.
Loke berkata anggota penguat kuasa JPJ sentiasa meningkatkan taktik penyamaran di stesen bas terpilih untuk memastikan peraturan itu dipatuhi.
“Pendekatan yang kita (JPJ) gunakan pada peringkat ini ialah banyak menggunakan samaran sebab kita nak lihat betul ke tidak pengusaha bas atau pemandu ini patuh kepada peraturan.
“Pemandu bas terbabit perlu bertanggungjawab dengan memberi peringatan kepada penumpang supaya memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan sesuatu perjalanan.
“Tindakan ini bukan kerana takut kena saman sahaja tetapi untuk kebaikan dan keselamatan mereka,” katanya.
Loke turut menegaskan peraturan ini adalah seperti dikenakan ketika menaiki pesawat.
“Mengapa kalau penumpang ambil dalam sektor penerbangan semua orang terima (peraturan pemakaian tali pinggang keledar), tapi mengapa ambil bas tak boleh terima?” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd