Pemandu ambulans pandu melulu hingga remaja maut tak mengaku salah

am@hmetro.com.my

Jasin: Seorang pemandu ambulans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Senin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu ambulans jenis Toyota Hiace bernombor pendaftaran MCW5643 memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat simpang tiga Kampung Ayer Merbau, di sini, kira-kira jam 9.15 pagi, 26 Ogos 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Hafiz Othman mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin selain memohon syarat tambahan lesen tertuduh digantung sementara sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Datin Karen Jit Kaur memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan jaminan bukan berbentuk hukuman, sebaliknya bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Beliau turut memberi jaminan anak guamnya akan hadir pada setiap prosiding dan akan dijamin oleh pihak atasannya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 serta menggantung lesen memandunya sementara sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

Mahkamah turut menetapkan 17 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 26 Ogos lalu, media melaporkan seorang pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans swasta di simpang tiga lampu isyarat Ayer Merbau, Jasin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal Yamaha Y16 yang ditunggang mangsa dan ambulans Toyota Hiace milik Bulan Sabit Merah Melaka.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Bemban, manakala ambulans pula dari Ayer Merbau menghala ke Klinik Kesihatan Jasin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top