Pemandu bawah pengaruh dadah ditahan, rempuh kereta dari arah bertentangan

Pemandu bawah pengaruh dadah ditahan, rempuh kereta dari arah bertentangan

am@hmetro.com.my

Kluang: Pemandu di bawah pengaruh dadah ditahan selepas merempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Jaya, di sini, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh Proton Saga dipandu peniaga berumur 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika suspek yang memandu Honda City dalam perjalanan dari Taman Sri Kluang ke Bandar Kluang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek dipercayai memasuki laluan bertentangan dan merempuh Proton Saga.

“Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahrin berkata, pemandu Proton Saga dari Taman Sri Kluang mengalami cedera ringan manakala suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan mendapati mendapati suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah serta rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penggunaan dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top