Pemandu beratur berjam-jam isi petrol di Mosul

Pemandu beratur berjam-jam isi petrol di Mosul

MOSUL: Pemandu di bandar ini terpaksa beratur berjam-jam untuk mengisi petrol kenderaan mereka, semalam, dengan pihak berkuasa menyalahkan kegiatan penyeludupan ke wilayah berdekatan, Kurdistan, sebagai punca kekurangan bekalan bahan api itu.

Sejak minggu lalu, penduduk terpaksa beratur panjang di stesen minyak di Mosul dan wilayah Nineveh, lapor wartawan AFP.

Tentera turut dikerahkan ke beberapa stesen minyak untuk mengelakkan sebarang keganasan, susulan situasi itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemandu kenderaan.

Seorang pemandu teksi, Abdel Khaliq al-Mousalli turut mengeluh kerana terpaksa beratur lama untuk mengisi minyak.

“Setiap hari, kami terpaksa beratur. Ia sudah menjadi satu rutin,” katanya.

Kekurangan petrol sering berlaku di Nineveh, yang mana petrol disubsidi oleh kerajaan persekutuan dan dijual kira-kira 500 dinar (AS$0.33) seliter.

Namun di wilayah autonomi Kurdish yang berdekatan, harga petrol adalah dua kali ganda lebih mahal.

Khamis lalu, Gabenor Nineveh, Nejm al-Jibbouri memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa kekurangan petrol itu disebabkan oleh kegiatan ‘penyeludupan’.

Beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk ‘memperketatkan operasi di pusat pemeriksaan bagi menghalang petrol daripada diseludup keluar dari wilayah itu’.

Timbalan ketua agensi Iraq yang bertanggungjawab dalam pengedaran produk petroleum, Ihsan Mussa Ghanem memberitahu AFP, Nineveh menerima lebih dua juta liter petrol sehari, iaitu ‘jumlah tertinggi selepas Baghdad’.

Beliau berkata, terdapat ‘aliran bahan api yang lebih murah dari kawasan di wilayah Nineveh, ke kawasan yang lebih mahal di Kurdistan.’

“Harga minyak di Kurdistan adalah 40 peratus lebih tinggi daripada di wilayah lain, dan itu telah memberi tekanan kepada Nineveh, dengan ramai penduduk Kurdistan datang ke sini untuk mengisi petrol,” katanya.

Untuk rekod, Iraq ialah pengeluar kedua terbesar dalam Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Hampir 3.5 juta tong sehari dieksport negara itu, menyumbang lebih 90 peratus daripada pendapatannya. – AFP.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top