am@hmetro.com.my
Tawau: Tindakan biadab seorang lelaki memandu secara melulu sebelum turun dari kenderaan dan menunjukkan isyarat lucah (jari tengah) serta mencabar seorang wanita untuk bergaduh, membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari pada Rabu lalu di simpang Jalan Kobuta, Batu 3, Jalan Apas, mangsa wanita yang juga seorang juruteknik terpaksa berhenti secara mengejut selepas kenderaan dipandunya hampir dirempuh oleh sebuah Perodua Myvi yang keluar secara melulu dari simpang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, insiden berkenaan tidak hanya berakhir di situ apabila suspek berusia 32 tahun itu bertindak turun dari kenderaannya lalu menunjukkan isyarat lucah ke arah mangsa sambil menghamburkan kata-kata cabaran untuk bergaduh.
“Mangsa yang ketakutan dan terganggu dengan perbuatan melampau suspek segera membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek di hadapan sebuah penginapan dekat pusat bandar di sini, jam 2.50 petang, semalam.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kesalahan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya di daerah Papar, Kuala Lumpur dan Tawau.
“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd