am@hmetro.com.my
Nilai: Pemandu e-hailing dan penumpangnya parah selepas kereta dinaiki mereka dikatakan dihempap pokok tumbang di jalan menghala ke INTI Kolej, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihak berkuasa mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta.
“Pihak polis menerima maklumat melalui sistem MERS NG 999 (RC Melaka) berhubung sebatang pokok tumbang yang menimpa sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki dua lelaki tempatan.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Nilai bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira 20 minit selepas operasi dijalankan dan seterusnya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa pertama, pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, dipercayai mengalami trauma dan dilaporkan tidak dapat mengingati kejadian yang berlaku.
“Mangsa juga tidak dapat menggerakkan kedua-dua belah kaki dan disyaki mengalami kecederaan atau patah.
“Pemeriksaan lanjut termasuk imbasan sinar-X sedang dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan sebenar,” katanya.
Johari berkata, mangsa kedua, penumpang kenderaan iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai jurutera Malaysia Airlines, mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala, kecederaan dalaman di bahagian abdomen serta disyaki mengalami patah pada kedua-dua belah tangan.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda kawasan itu ketika waktu kejadian.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca buruk serta sentiasa peka terhadap persekitaran bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




