am@hmetro.com.my
Sandakan: Pemandu wanita e-hailing berdepan saat mendebarkan apabila penumpang tiba-tiba melahirkan bayi dalam kenderaannya pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Norwin Mohamad, 39, yang baru setahun menyediakan perkhidmatan sewa kereta itu sedang menunggu penumpang di Bandar Letat, di sini, sebelum didatangi beberapa individu yang sedang mengangkat wanita hendak bersalin.
Menceritakan kejadian itu, Norwin berkata, ketika dalam perjalanan ke Hospital Duchess of Kent, wanita terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an bersalin menyebabkan penumpang lain termasuk suami dan bapa wanita itu panik.
Katanya, memandangkan sudah berkahwin dan mempunyai lima anak, dia tidak berasa begitu gementar melihat situasi itu, sebaliknya meminta mereka bertenang dan terus memandu.
“Saya cuma kasihan melihat bayi itu kerana sebaik disambut oleh seorang wanita yang bersama mereka yang saya kira ‘bidan kampung’, bayi itu tidak menangis.
“Saya tidak sempat mendapatkan maklumat mereka. Sebaik sampai di hospital, saya terus membawa kereta untuk dicuci. Saya harap bayi itu baik-baik saja,” katanya ketika dihubungi di sini.
Norwin berkata, dia juga tidak meminta sebarang bayaran daripada penumpang kerana faham dengan keadaan mereka, selain berasa kasihan apabila melihat suami wanita terbabit menanggalkan bajunya untuk mengelap darah yang memenuhi permukaan tempat duduk.
Katanya, bapa serta suami wanita itu juga berulang kali meminta maaf kerana kejadian itu menyebabkan tempat duduk keretanya dipenuhi darah.
“Saya kata tidak apa sebab saya faham perasaan mereka. Saya juga tidak sangka selepas memuat naik gambar di laman sosial, ada beberapa pusat cuci kereta menghubungi saya dan menawarkan bantuan mencuci kereta secara percuma.
“Mereka cakap mahu bantu kerana saya sudah bantu orang,” katanya.
Norwin berkata, dia difahamkan wanita terbabit menahan kontraksi sejak jam 3 pagi, namun tidak dibawa ke hospital lebih awal kerana dipercayai mereka dipercayai warga asing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




