Pemandu e-hailing ditahan, lakukan amang seksual terhadap remaja perempuan

Pemandu e-hailing ditahan, lakukan amang seksual terhadap remaja perempuan

mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Pemandu e-hailing ditahan selepas melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan ketika berbual di tepi jalan kawasan padang di Ampang, di sini, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, ketika kejadian remaja perempuan berusia 16 tahun itu sedang menunggu bapanya sebelum didatangi lelaki berusia 38 tahun bertanya mengapa mangsa berada di situ.

Menurutnya, mangsa memberitahu sedang menunggu bapanya sebelum mereka sempat berbual namun lelaki itu menyentuh pipi dan pergelangan kaki mangsa.

“Suspek juga menepuk bahu mangsa ketika remaja terbabit mengadu mengalami tekanan di sekolah malah suspek cuba memeluknya menyebabkan dia berasa tidak selesa.

“Mangsa kemudian melarikan diri kerana takut manakala suspek pulang ke rumahnya,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kamsiah berkata, mangsa kemudian menceritakan kepada bapanya sebelum mereka tampil membuat laporan polis.

“Susulan itu, suspek ditahan semalam dan direman seminggu sehingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top