am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Seorang pemandu e-hailing kerugian RM301,300 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang kononnya menjanjikan pulangan berlipat ganda menerusi urus niaga dalam talian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, katanya pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga warga emas berusia 67 tahun, Isnin lalu yang mendakwa telah ditipu menerusi satu skim pelaburan saham luar negara sejak April.
“Mangsa diperkenalkan kepada skim pelaburan itu oleh seorang wanita tempatan yang baru dikenalinya dan dijanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
“Mangsa kemudian melakukan 11 transaksi pembayaran ke empat akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM301,300.
“Bagaimanapun, tiada sebarang keuntungan diperoleh dan mangsa sebaliknya diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran hasil pelaburan.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan gagal, malah suspek turut gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, hasil semakan melalui platform CCID, polis mendapati tiga akaun yang terbabit dalam transaksi itu mempunyai keseluruhan 27 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda.
“Siasatan turut membabitkan unsur ‘keldai akaun’ di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan membabitkan penyalahgunaan akaun bank untuk tujuan jenayah kewangan,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, terutamanya yang diperkenalkan oleh individu tidak dikenali.
“Jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak lain dan gunakan perkhidmatan semakan yang disediakan oleh CCID Scam Response Centre sebelum membuat sebarang urus niaga kewangan secara dalam talian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd