Pemandu forklift maut tercucuk bilah pengangkat barang

Pemandu forklift maut tercucuk bilah pengangkat barang

am@hmetro.com.my

Kuching: Lelaki warga emas maut selepas dadanya tercucuk bilah forklift di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pending di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu dilaporkan oleh pihak kilang berkenaan pada 4 petang semalam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Bintawa dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan berkenaan.

“Setibanya di lokasi, didapati lelaki tempatan berusia 70 tahun yang juga pemandu forklift itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, tersepit antara timbunan palet dan bilah pengangkat barang forklift yang terkena dada kirinya.

“Anggota paramedik yang turut dipanggil mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Farhan turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ngeri itu bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ketua Polis Balai Bintawa Sarjan Mejar Siti Mariam Hamid di talian 0164661345, Balai Polis Bintawa di talian 082-335930 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top