Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang memandu kereta Honda Jazz dan melanggar lampu isyarat di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban sehingga menyebabkan dua remaja maut pada Khamis lalu didapati tidak mempunyai lesen memandu.
BACA: Anak Maut Dirempuh Pemandu Langgar Lampu Merah, Ibu Meraung Dan Pitam Di Lokasi Kejadian
Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din.
Pemandu umur 18 tahun, tiada lesen

Beliau juga menafikan dakwaan tersebar di media sosial kononnya pemandu berusia 15 tahun. Tegasnya, pemandu tersebut sebenarnya berumur 18 tahun.
Setakat ini, keterangan pemandu kereta terbabit masih belum diambil kerana mangsa masih dirawat di hospital.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda sekiranya didapati bersalah.
Siasatan turut tertumpu kepada kesalahan tiada lesen memandu yang dilakukan oleh pemandu tersebut.
Pihak polis menyeru orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh mengganggu siasatan dan untuk menjaga sensitiviti pihak berkaitan.
Netizen berang, kakak pemandu Honda Jazz dikecam!

Terdahulu, tular di media sosial insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian sementara pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng Honda Vario mengalami kecederaan parah.


Lebih memburukkan keadaan apabila seorang wanita dipercayai kakak kepada pemandu Honda Jazz memihak kepada adiknya sehingga mencetuskan kemarahan netizen.




