Langkawi: Sebanyak 47 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam operasi bersepadu yang dijalankan selama empat jam di sini, hari ini.
Dalam operasi berakhir jam 7 malam itu, sebanyak 858 kenderaan dan 500 individu diperiksa.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, daripada jumlah itu, 152 membabitkan motosikal, 645 kereta dan 61 lagi kenderaan lain.
“Polis mengeluarkan 47 saman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) satu saman dan empat notis, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) masing-masing enam kompaun dan notis,” katanya pada sidang media di lokasi operasi di sini, hari ini.
Seramai 50 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan JAS terbabit dalam operasi itu.
Shariman berkata, dalam operasi sama, AADK memeriksa 27 individu dan enam daripadanya ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa dan kita dapati pemandu serta penunggang tidak serik melakukan kesalahan jalan raya walaupun tindakan penguatkuasaan berterusan,” katanya.