KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas persiaran dicekup Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhampiran Lebuhraya Pulau Indah, Klang kerana memandu kenderaan itu tanpa lesen yang sah sejak tiga bulan lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pemandu berkenaa diperiksa dan ditahan dalam rondaan yang dijalankan menerusi Operasi Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), Jumaat lalu.
“Dalam operasi KPA itu, kita telah menahan sebanyak 16 kenderaan perkhidmatan awam, antaranya melibatkan enam bas persiaran, enam bas ekspres, tiga bas kilang dan sebuah bas sekolah.
“Menerusi pemeriksaan itu, anggota JPJ telah berjaya mengesan pelbagai kesalahan membabitkan pemandu bas-bas awam berkenaan, antaranya tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan pengangkutan Awam Vokasional (PSV), selain kesalahan-kesalahan teknikal lain,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.
Semua pemandu yang melakukan kesalahan telah diberi saman serta-merta.
Menurutnya, kesalahan tidak memiliki lesen memandu merupakan kesalahan yang sangat serius dan tidak boleh dikompromi kerana memiliki lesen memandu adalah wajib bagi setiap pemandu kenderaan.
“Kesalahan sebegini bukan sahaja membawa risiko terhadap pemandu itu sendiri dan penumpang yang dibawa mereka dalam bas berkenaan tetapi juga akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya sambil memberi amaran kepada pengusaha bas agar mengambil perhatian serius perkara ini.
Tegas beliau, pengusaha bas bukan sekadar memastikan bas yang mereka sediakan untuk kegunaan awam dalam keadaan selamat, tetapi juga pemandu juga perlu diutamakan.
Katanya, JPJ Selangor akan kerap menjalankan pemantauan melibatkan semua jenis kenderaan agar peraturan dan undang-undang jalan raya dipatuhi. – MalaysiaGazette




