Pemandu kereta Alza sudah keluar wad, isteri, anak cedera

Pemandu kereta Alza sudah keluar wad, isteri, anak cedera

am@hmetro.com.my

Baling: “Mak cik risau tengok ada panggilan tidak dijawab pada telefon bimbit oleh anak dan cuba menghubunginya semula selepas itu.

“Dia beritahu, ‘mak jangan terkejut, kami semua ‘accident’ (kemalangan) dan dibawa ke Hospital Baling,” kata Norlian Abd Halim, 58.

Norlian adalah ibu kepada Mohd Lutfi Radzi, 37, dan tidak menyangka kepulangan anak kedua daripada lima beradik dari Terengganu bersama isteri dan dua anaknya mengundang tragedi apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan bas di Jalan Raya Timur -Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.

Katanya, Mohd Lutfi memaklumkan berhubung perkara itu hanya pada jam 8.39 pagi tadi kerana bimbang dia terkejut apabila mengetahui mereka sekeluarga terbabit dalam nahas itu.

“Saya sempat melihat keadaan menantu, (Nurul Ain Zakaria, 35), dan dua cucu (Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, serta Muhammad Ahsan Nafis, 2) di Hospital Baling tengah hari tadi.

“Nurul Ain mengalami kecederaan parah tulang rusuk kiri manakala Nur Aisyah Nafishah patah kaki kanan. Muhammad Ahsan pula tidak mengalami kecederaan dan sudah menjalani pemeriksaan imbasan sinar X.

“Mohd Lutfi pula sudah dibenarkan keluar wad tetapi masih menjaga isteri dan anaknya di hospital.

“Saya dimaklumkan, Muhammad Ahsan terjatuh ke dalam longkang tetapi alhamdulillah dia tidak cedera teruk,” katanya ketika temui di Pondok Ustaz Bakar, Parit Panjang, di sini hari ini.

Norlian berkata, Mohd Lutfi dan isterinya adalah pasangan guru dan tinggal berhampiran rumahnya.

Katanya, mereka sekeluarga pulang ke rumah keluarga menantunya di Terengganu untuk menyambut Aidiladha.

“Mereka balik ke sana sejak minggu lalu kerana cuti sekolah dan hari ini sepatutnya berhari raya di rumah saya.

“Tapi mak cik bersyukur mereka selamat dalam kejadian itu walaupun kenderaan Perodua Alza mereka agak teruk,” katanya.

Norlian berkata, dia dan ahli keluarga yang lain tidak dibenarkan melawat tiga beranak itu di hospital cuma Mohd Lutfi dibenarkan menjaga mereka.

“Saya hanya sempat melawat siang tadi ketika menghantar lampin pakai buang cucu. Makcik harap anak, menantu serta dua cucu cepat sembuh.

“Tapi mak cik sedih tengok tengok 15 pelajar yang meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top