am@hmetro.com.my
Cameron Highlands: Empat pejalan kaki termasuk tiga kanak-kanak cedera dirempuh kereta dipandu yang lelaki disyaki diserang sawan di Kilometer 68 Jalan Kea Farm-Brinchang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, nahas berlaku kira-kira 12 tengah hari ketika pemandu berusia 22 tahun tiba-tiba hilang kawalan dan kereta terbabas ke bahu kiri jalan.
“Dia dipercayai diserang sawan menyebabkan gagal mengawal kenderaan dan merempuh empat orang yang sedang berjalan.
“Semua mangsa cedera membabitkan lelaki berusia 24 tahun dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara dua hingga 10 tahun.
“Kesemuanya dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands untuk rawatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Azri berkata, mangsa hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala pemandu kereta tidak cedera.
Katanya, siasatan juga mendapati pemandu berkenaan mempunyai rekod rawatan penyakit sawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




