Beberapa kejadian membabitkan sikap pengguna jalan raya kebelakangan ini agak membimbangkan.
Isu ambulans dihalang oleh kenderaan awam atau kenderaan lain mengundang perdebatan dalam kalangan orang awam mengenai kewajaran sikap segelintir pengguna jalan raya atau pihak tertentu memberi laluan kepada agensi tertentu yang perlu sampai segera ke destinasi mereka.
Kafe Ahad kali ini mengupas sejauh mana kepentingan kesedaran sivik dalam kalangan pengguna jalan raya di Malaysia bersama Pengasas Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, DATUK MOHAMMAD HISHAM SHAFIE.
Sejauh mana kesedaran sivik pengguna jalan raya Malaysia?
Boleh dianggap rendah dan berdasarkan laporan media serta analisis menunjukkan isu seperti membuang sampah, memandu secara agresif, melanggar lampu isyarat dan mengguna telefon bimbit ketika memandu mencerminkan sikap individualistik dan kurang empati.
Walaupun ada inisiatif kerajaan untuk mendidik, namun perubahan sikap masih lemah.
Tetapi, data kualiti jalan raya dan kemalangan sering menempatkan Malaysia di kedudukan kurang baik, menunjukkan kita sedang bermasalah.
Segelintir pengguna jalan raya Malaysia enggan bekerjasama dengan agensi keselamatan seperti ambulans dan bomba, apa puncanya?
Pada pendapat saya isu ini kekal menjadi cabaran serius pada tahun ini.
Sikap tidak peduli ini bukan sahaja melambatkan operasi menyelamat, merisikokan nyawa awam, malah satu kesalahan jenayah awam di bawah undang-undang negara.
Saya simpulkan beberapa faktor antaranya sikap kurang sabar dan mementingkan diri sendiri.
Dianggarkan 80 peratus kemalangan dan isu lalu lintas di Malaysia berpunca daripada faktor manusia atau sikap. Segelintir pemandu enggan memberi laluan kerana terburu-buru seperti ingin mengejar penerbangan atau urusan peribadi lain.
Selain itu, ramai pemandu menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan ketika trafik sesak, yang akhirnya menyekat laluan sebenar untuk kenderaan penyelamat.
Kita perlu sedar masih ada pengguna yang tidak menyedari betapa kritikalnya setiap saat bagi mangsa kecemasan, di mana kelewatan ambulans boleh membawa kepada kematian.
Akhirnya, pemandu mungkin tidak peka dengan siren atau lampu mata arah kerana penggunaan peranti elektronik atau sistem audio yang terlalu kuat dalam kenderaan.
Adakah terdapat akta dalam keselamatan jalan raya boleh mengenakan sabitan kes dan hukuman atas sikap seperti itu?
Peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang secara khusus mengenakan sabitan dan hukuman terhadap pemandu yang menunjukkan sikap tiada kesedaran sivik atau tidak menghiraukan keselamatan orang lain.
Antaranya memandu tanpa cermat dan pertimbangan (Seksyen 43), merangkumi tindakan pemandu yang tidak menunjukkan kesedaran sivik seperti memandu tanpa ‘perhatian sewajarnya’ atau tanpa ‘pertimbangan munasabah’ terhadap pengguna jalan raya yang lain.
Ia memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan.
Selain itu, ada juga Seksyen 42 bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya.
Contohnya bagi individu yang memandu dengan melawan arus atau lumba haram, hukuman yang lebih berat dikenakan.
Pemandu percubaan (P) jika sabit kesalahan di bawah seksyen ini, lesen mereka akan dibatalkan serta-merta.
Datuk pernah terima aduan berkaitan?
Ya, memang ada banyak aduan dihantar kepada pihak NGO, tetapi aduan difailkan secara rasmi boleh dilakukan pengguna kepada JPJ.
Jumlah aduan diterima JPJ tinggi terutama Sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA 2025).
Untuk rekod, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima 6,687 aduan menerusi aplikasi MyJPJ berkaitan pelbagai kesalahan lalu lintas dan kesalahan berkaitan sivik paling popular.
Berikut antara isu utama yang sering diadukan dan dikesan termasuk penggunaan telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.
Selain itu, gagal menggunakan lampu isyarat, memandu di lorong kanan secara berterusan bagi kenderaan berat bas.
Apakah saranan Datuk supaya isu ini dapat ditangani?
Cadangan ialah membabitkan pendidikan berterusan, penguatkuasaan undang-undang tegas, kempen kesedaran (media sosial, papan tanda), memperbaiki infrastruktur (jalur khas, sistem lampu isyarat) dan peranan pemimpin mencontohi, supaya pemandu faham kepentingan memberi laluan untuk menyelamatkan nyawa dan meredakan kecemasan dengan lebih cepat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




