mdroji@bh.com.my
Kuching: Dua lelaki maut manakala seorang wanita parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Sare, Sarikei, hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 9.35 pagi sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta jenis Hyundai Atos dengan tiga mangsa terbabit.
“Dua lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang wanita mengalami kecederaan parah,” katanya.
Menurutnya, dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nyaring Achang, 43 dan Louis Asey, 58, yang mana kedua-duanya menunggang motosikal berasingan.
Mangsa yang cedera dikenali sebagai Seloma Joshua Bunsu, 58, dihantar ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, pemandu kereta Hyundai Atos melarikan diri sebaik kemalangan berlaku dan usaha mengesannya sedang dijalankan oleh pihak polis.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa cedera parah diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



