Pemandu Lori Batu Ditahan, Polis Siasat Nahas Tragedi 9 Anggota FRU Maut Di Teluk Intan | Oh! Media

Pemandu Lori Batu Ditahan, Polis Siasat Nahas Tragedi 9 Anggota FRU Maut Di Teluk Intan | Oh! Media

Tragedi menyayat hati yang meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan terus mendapat perhatian apabila pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.50 pagi pada Selasa itu turut mengakibatkan dua lagi anggota FRU cedera parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil.

Pemandu lori baru negatif dadah, siasatan masih dijalankan…

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan bahawa pemandu lori berusia lingkungan 40-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan pada pagi Selasa untuk siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujian saringan telah dijalankan dan pemandu didapati negatif dadah. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengumpul maklumat tambahan.- Katanya.

Dr Bakri berkata demikian ketika ditemui media di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, tempat mayat-mayat anggota FRU dihantar untuk tindakan lanjut.

Daripada 15 anggota FRU yang menaiki kenderaan tersebut, seramai lapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat impak kuat perlanggaran. Seorang lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, menjadikan jumlah korban seramai sembilan orang.

Dua lagi anggota dilaporkan cedera, manakala baki tiga anggota lain selamat. Suasana di lokasi dan hospital dilaporkan pilu, dengan ahli keluarga dan rakan setugas berkumpul bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang terkorban.

Senarai PRP FRU unit 5 yang terkorban…

  1. Sarjan S Perumal, 44 tahun.
  2. Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46 tahun (meninggal dunia di zon merah Hospital Teluk Intan).
  3. Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41 tahun.
  4. Koperal Nurit Ak Pandak, 34 tahun.
  5. Koperal Amiruddin Zabri, 38 tahun.
  6. Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38 tahun.
  7. Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35 tahun.
  8. Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 tahun.
  9. Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28 tahun.

Pssttt! Kita simpati dengan insiden ini yang meragut sembilan nyawa anggota pasukan keselamatan negara. Ini satu peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan patuhi peraturan, terutamanya melibatkan kenderaan berat. Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat dan diberi kekuatan kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.

Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

Scroll to Top