Pemandu lori cedera parah bas rempuh 2 kenderaan

Pemandu lori cedera parah bas rempuh 2 kenderaan

Melaka: Seorang pemandu lori cedera parah di kaki selepas bas ekspres yang membawa sembilan penumpang merempuh sebuah lori dan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 220.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, awal pagi tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pemandu lori tujuh tan berusia 23 tahun itu, cedera parah di kaki kanannya selepas tersepit di tempat duduknya dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan 1.02 pagi, sebelum masing-masing sebuah jentera dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan 10 anggota.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 1.22 pagi, didapati kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, lori serta treler, dan terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori tersepit dalam kenderaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu bas ekspres berusia 64 tahun dan sembilan penumpangnya serta pemandu treler 14 tan berusia 56 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Zulkhairani berkata pemandu lori berkenaan berjaya dikeluarkan kira-kira 15 minit, sebelum unit ERMS membawa mangsa ke Hospital Rembau, Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata berkata berdasarkan maklumat yang diterima, ketiga-tiga kenderaan itu sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya itu sebelum bas ekspres dikatakan merempuh lori dan treler terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top