Pemandu lori ditetak hingga mati dalam kedai kopi

Pemandu lori ditetak hingga mati dalam kedai kopi

am@hmetro.com.my

Kulim: Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai dibunuh di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Saffuan Md Noor berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.20 tengah hari tadi.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit.

“Kejadian berlaku apabila mangsa dikejar dua suspek dari luar kedai dan ketika cuba melarikan diri dengan memasuki kedai kopi berkenaan, mangsa ditetak menggunakan senjata tajam hingga rebah sebelum meninggal dunia di dalam kedai kopi berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Mangsa luka parah kesan serangan senjata tajam di tangan, dada, belakang badan dan bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saffuan berkata, polis sedang menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek masih dilakukan ketika ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Asisten Superintendan Azmirul Abd Aziz di talian 019-4446521 atau IPD Kulim di talian 04-4906222.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menular gambar mangsa dan motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd