am@hmetro.com.my
Simpang Pulai: Seorang pemandu lori maut selepas treler dipandunya dihempap bongkah batu ketika sedang menjalankan kerja di kuari berhampiran Kampung Kepayang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 5.18 petang tadi, Sivakumar Marathamuthu, 53, dilaporkan tersepit di dalam kepala treler berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu BBP Gopeng dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.29 petang dan terus membuat penilaian awal di lokasi kejadian.
“Anggota kemudian melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 12 anggota bersama jentera FRT, LFRT dan kenderaan utiliti itu ditamatkan sepenuhnya pada 6.22 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

