Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Gambar: Ihsan polis
Petaling Jaya: Pemandu lori maut selepas kenderaan itu melanggar jengkaut di sebuah tapak pembinaan di Jalan Aeroangkasa 3, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.13 pagi, membabitkan pemandu warga asing berusia 39 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang melakukan kerja mengambil tanah di tapak pembinaan berkenaan.
“Bagaimanapun, tayar lori dipandunya terbenam dalam selut, sebelum rakan sekerjanya datang membantu dengan membawa jengkaut.
“Ketika proses untuk mengeluarkan tayar, mangsa dikatakan menekan pedal minyak yang menyebabkan lorinya meluncur ke hadapan dan melanggar jengkaut berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan daripada Hospital Sungai Buloh (HSB).
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Wan Ahmad Izhanzaki di talian 014-5296880 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




