Pemandu lori menangis, mohon maaf selepas mengaku rogol anak angkat

Pemandu lori menangis, mohon maaf selepas mengaku rogol anak angkat

am@hmetro.com.my.

Muar: “Ayah minta maaf, ayah bersalah,” itulah yang didengari ketika warga emas berpelukan dengan anak lelakinya selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta empat sebatan atas kesalahan merogol anak tirinya, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 63 tahun sebelum itu mengaku bersalah ketika dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemandu lori didakwa merogol anak angkatnya berusia 13 tahun di rumahnya di Batu Pahat, jam 12 tengah malam, 19 Julai lalu.

Oleh itu, bapa kepada lima hasil dua perkahwinan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat mangsa jam 2.50 petang, 25 Julai lalu, mengatakan dia dirogol bapa angkat iaitu tertuduh sejak 2021.

Dalam laporan itu, mangsa memberitahu kejadian itu berlaku ketika dia sedang baring dalam bilik sebelum didatangi tertuduh.

Tertuduh turut memaksa mangsa menuruti perintahnya sebelum melakukan perbuatan terkutuk. Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan kemudiannya menahan tertuduh pada 26 Julai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula daripada tarikh ditahan serta empat sebatan.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top