Pemandu lori muatan jagung maut kemalangan

Pemandu lori muatan jagung maut kemalangan

rnoraina@hmetro.com.my

Subang: Pemandu lori membawa muatan jagung maut selepas tersepit selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan sebuah lori lain di Kilometer 9.9 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah selatan, dekat sini, pagi ini.

Lelaki berusia 40-an itu berjaya dikeluarkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), namun disahkan meninggal dunia di lokasi.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 5.48 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan dua lori membawa muatan jagung dan telur. Terdapat seorang lelaki iaitu pemandu lori tersepit di dalam kenderaan berjaya dikeluarkan oleh bomba, pada 6.15 pagi.

“Manakala, lori kedua dinaiki dua lelaki berusia 30-an mengalami cedera ringan dan keluar sendiri sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tersepit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top