Pemandu lori pandu melulu, ingkar arahan ditahan

Pemandu lori pandu melulu, ingkar arahan ditahan

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Polis tahan pemandu lori kerana menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu dalam Op Bersepadu dan Op Samseng Jalanan yang diadakan sekitar kawasan Plaza Tol Jawi, pada malam Sabtu.

Dalam operasi 11.30 malam itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan mengesan dua lori ‘tipper’ yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, anggota kemudian mengarahkan kedua-dua kenderaan itu berhenti, namun sebuah daripadanya yang dipandu lelaki tempatan tidak mengendahkan arahan.

“Pemandu didapati terus memecut laju ke arah jalan besar dan melanggar lampu isyarat merah selain, hampir merempuh anggota polis bertugas.

“Suspek yang memandu secara berbahaya akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan unit kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) di Jalan Sungai Daun, Kampung Ladang Kalidonia.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan (GDL). Semakan lanjut juga mendapati cukai jalan lori berkenaan telah tamat tempoh namun insurans masih sah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lori itu dirampas dan pemandu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 kanun sama dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top