TRAGEDI kematian akibat pemandu mabuk semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini dan ia terus mengguris hati masyarakat.
Pernahkah kita terfikir, di sebalik setiap insiden sedih itu, tersimpan kisah duka seorang ayah yang tidak lagi pulang ke pangkuan keluarga, seorang suami yang keluar mencari keperluan rumah tangga atau anak-anak kecil yang kehilangan tempat bergantung?
Pensyarah Kanan Perubatan & Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Abdul Rahman Ramdzan menjelaskan, hakikatnya kejadian seperti ini bukan sekadar kemalangan, tetapi berpunca daripada kecuaian serius yang boleh dicegah.
“Dalam Islam, nyawa manusia merupakan amanah yang amat tinggi nilainya seperti dinyatakan ALLAH SWT dalam ayat ke-32 surah al-Ma’idah.

DR ABDUL RAHMAN
“ALLAH SWT menegaskan bahawa membunuh satu nyawa tanpa hak seolah-olah membunuh seluruh manusia dan prinsip ini selari dengan konsep Maqasid Syariah, khususnya dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs).
“Oleh itu, sebarang tindakan yang mendedahkan orang lain kepada risiko kematian, termasuk memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah, jelas bercanggah dengan tuntutan agama,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Ujarnya, dari perspektif kesihatan awam pula, pemanduan dalam keadaan mabuk bukan sekadar kesalahan individu, tetapi satu faktor risiko utama yang menyumbang kepada kematian dan kecederaan di jalan raya.
“Secara global, pengambilan alkohol dikaitkan dengan jutaan kematian setiap tahun termasuk kemalangan jalan raya yang boleh dicegah.
“Alkohol menjejaskan fungsi kognitif, memperlahankan tindak balas dan mengganggu pertimbangan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan maut,” hurainya.
Konsep pencegahan berlapis
Ujarnya lagi, pendekatan kesihatan awam melihat isu ini melalui konsep pencegahan berlapis atau multi-level prevention.
“Ini bermaksud intervensi tidak hanya tertumpu kepada hukuman selepas kejadian, tetapi melibatkan langkah pencegahan primer, sekunder dan tertier.
“Pencegahan primer merangkumi kawalan terhadap akses kepada alkohol, pendidikan kesedaran dan pembentukan norma sosial yang menolak pemanduan mabuk,” katanya.
Pencegahan sekunder pula ujarnya, ia melibatkan penguatkuasaan undang-undang seperti ujian alkohol secara rawak dan sekatan lesen manakala pencegahan tertier memberi tumpuan kepada rawatan ketagihan dan pemulihan pesalah.
“Walaupun undang-undang di Malaysia telah memperuntukkan hukuman terhadap pemandu mabuk, kejadian masih berulang dan ini menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada perlu diperkukuh.

PAMPASAN atau diyat seperti disarankan Islam boleh membantu keluarga mangsa yang terkesan. Foto Canva
“Dalam hal ini, kesihatan awam menekankan kepentingan intervensi berasaskan populasi termasuk kawalan penjualan alkohol, pengurangan ketersediaan secara terbuka serta dasar harga dan cukai yang lebih tinggi untuk mengurangkan penggunaan,” jelasnya.
Islam tawarkan pampasan
Dalam masa yang sama tegasnya, Islam menawarkan satu dimensi tambahan melalui konsep diyat iaitu pampasan kepada keluarga mangsa.
“Dalam kerangka kesihatan awam, pendekatan ini boleh dilihat sebagai satu bentuk keadilan restoratif yang mengiktiraf kesan jangka panjang terhadap keluarga mangsa, termasuk tekanan emosi, kehilangan sumber pendapatan dan beban sosial.
“Ia melengkapi sistem hukuman sedia ada dengan memberi perhatian kepada kebajikan mangsa, bukan hanya pesalah,” jelasnya.
Sambungnya lagi, isu ini juga perlu dilihat dalam konteks penentu sosial kesihatan atau social determinant of health (SDH) iaitu faktor persekitaran dan budaya yang mempengaruhi tingkah laku.
“Normalisasi pengambilan alkohol dalam sesetengah kelompok masyarakat boleh meningkatkan penerimaan terhadap tingkah laku berisiko seperti memandu selepas minum.
“Oleh itu, perubahan budaya dan norma sosial amat penting dalam usaha jangka panjang,” katanya.
Selain itu, pendekatan whole-of-society perlu digerakkan melibatkan kerajaan, komuniti, institusi pendidikan dan sektor swasta, ujarnya.

PENGUATKUASAAN secara berkala boleh dilakukan dalam mengekang pemandu mabuk di atas jalan. Foto Canva
“Premis yang menjual minuman beralkohol juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan pelanggan tidak memandu dalam keadaan mabuk.
“Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran kolektif masyarakat.
“Akhirnya, melindungi nyawa bukan hanya tanggungjawab undang-undang, tetapi juga tanggungjawab kesihatan awam dan tuntutan agama,” jelas pensyarah itu.
Ujarnya, setiap nyawa yang hilang akibat pemandu mabuk adalah satu kegagalan sistem yang boleh diperbaiki.
“Pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, keadilan dan pendidikan perlu dilaksanakan secara konsisten.
“Jangan biarkan tragedi ini berulang tanpa tindakan bermakna. Nyawa manusia tidak ternilai dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan jalan raya bukan medan kehilangan, tetapi ruang selamat untuk semua,” katanya.



