Pemandu mabuk perlu di penjara mandatori, lesen digantung secara kekal – Nik Mohd. Ridzuan

Pemandu mabuk perlu di penjara mandatori, lesen digantung secara kekal – Nik Mohd. Ridzuan

KUANTAN: Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota mencadangkan kerajaan melaksanakan reformasi perundangan baharu bagi menangani isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang semakin membimbangkan, khususnya kes melibatkan kecederaan serius dan kematian.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, antara langkah dicadangkan termasuk hukuman penjara mandatori lebih berat terhadap pesalah yang menyebabkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa akibat pemanduan dalam keadaan mabuk.

Katanya, cadangan tersebut menekankan bahawa tiada lagi pilihan denda sebagai ganti, sekali gus memberikan mesej jelas bahawa kesalahan tersebut tidak boleh dikompromi.

“Selain itu, penggantungan lesen memandu secara kekal turut dicadangkan terhadap pesalah yang terbukti menyebabkan kematian. Langkah ini dilihat sebagai usaha menghapuskan risiko pengulangan kesalahan, di samping melindungi keselamatan pengguna jalan raya.

“Dalam masa sama, kerajaan dicadang memperluaskan skop undang-undang dengan meletakkan tanggungjawab kepada premis yang menyediakan alkohol. Premis atau individu yang didapati membekalkan minuman keras secara tidak bertanggungjawab kepada pelanggan yang kemudian memandu dalam keadaan mabuk boleh didakwa di bawah peruntukan baharu itu.

“Reformasi ini diyakini mampu memperkukuh undang-undang sedia ada dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Ia juga menuntut kerjasama semua pihak termasuk pengusaha premis hiburan dalam memastikan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, seorang lelaki berusia 28 tahun yang memandu kenderaan mewah jenis Porsche Cayenne direman empat hari sehingga 17 Februari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan maut yang mengorbankan sepasang suami isteri dalam kejadian berhampiran Stesen Minyak Petronas Taman Tualang Indah di Temerloh, dekat sini.

Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron dilaporkan berkata, perintah reman dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk menunggu keputusan ujian toksikologi terhadap suspek yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah malam di Kilometer 134 Jalan Kuala Lumpur–Kuantan itu, pasangan suami isteri berusia 34 dan 35 tahun bangsa India maut selepas Proton Preve dinaiki mereka terbakar sejurus dirempuh dari belakang.

Mengulas lanjut, Nik Mohd. Ridzuan berkata, Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota berpandangan bahawa pendekatan undang-undang sedia ada masih belum cukup memberi impak pencegahan yang efektif.

Beliau berkata, hukuman denda dan penjara konstruktif yang terkandung dalam undang-undang masih belum mencukupi untuk menjadi sesuatu yang benar-benar ‘menggerunkan’ dan menjadikan orang ramai berfikir seribu kali sebelum memandu selepas minum alkohol.

“Ia harus bersifat lebih tegas dan menyeluruh demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya tidak lagi dipertaruhkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota merakamkan rasa sedih dan takziah yang tidak terhingga terhadap tragedi yang meragut nyawa pasangan suami isteri terbabit. – UTUSAN

Scroll to Top