am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang pemandu lori pembancuh simen dipercayai mengalami serangan jantung sebelum meninggal dunia ketika sedang memarkir kenderaan berhampiran Pusat Tuisyen Al-Amin di sini, petang tadi.
Kejadian jam 1.10 tengah hari itu membabitkan kemalangan empat kenderaan dan mangsa berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, ketika kejadian mangsa berada dalam lori berkenaan dan sedang memarkir kenderaan sebelum mengalami serangan jantung.
Katanya, akibat kejadian itu, lori dinaiki mangsa bergerak ke hadapan secara perlahan dan melanggar tiga kenderaan lain.
“Pemandu lori berkenaan dibawa ke HPUSM untuk mendapat rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia jam 2.10 petang, manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut berkaitan kemalangan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan itu tampil untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Pengutakuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-7752315.
Katanya, pihak polis menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam pemanduan di jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas.
Tamat.
From: Idayu
© New Straits Times Press (M) Bhd




