Seorang lelaki dikenali sebagai K. Darmaraju yang berusia 32 tahun dipenjara sebulan dan didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada sepasang suami isteri.
Menurut laporan mStar, insiden itu berlaku pada 10 Mei lalu di Lebuhraya PLUS, menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Duta. Ketika itu, trak pikap Nissan Navara yang dipandu tertuduh merempuh pasangan tersebut yang menaiki motosikal.
Mahkamah putuskan hukuman setimpal

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula 11 Mei (tarikh tangkapan) dan dibatalkan kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Video tular cetus kemarahan netizen

Kejadian ini mendapat perhatian ramai selepas video kemalangan tular di media sosial, memperlihatkan keadaan cemas pasangan suami isteri yang terlibat. Ramai meluahkan rasa marah terhadap tindakan pemandu tersebut yang dianggap cuai dan tidak bertanggungjawab.