Pemandu Perodua Axia didakwa langgar polis trafik sudah ditahan

Pemandu Perodua Axia didakwa langgar polis trafik sudah ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu Perodua Axia yang dipercayai terbabit dalam insiden langgar lari anggota polis trafik yang bertugas di Jalan Sultan Yahya Petra, Jumaat lalu sudah ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan penahanan hari ini.

“Suspek ditahan petang tadi dan polis kini dalam penyediaan laporan dan melaksana ujian saringan air kencing serta ujian saringan pernafasan (EBA) terhadap suspek,” katanya.

Terdahulu, tular satu lagi video memaparkan kenderaan itu cuba melarikan diri dan melanggar sebuah pacuan empat roda ketika dikejar anggota polis trafik.

Video tular itu juga memaparkan suspek berjaya ditahan namun lokasinya tidak diketahui.

Media sebelum ini melaporkan Konstabel Roslan Salleh, 27, dilanggar dari arah belakang ketika sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning persimpangan Jalan Sultan Yahya Petra.

Berdasarkan rakaman kejadian yang tersebar, perbuatan pemandu kereta dipercayai secara sengaja bahkan, tidak berniat berhenti untuk memberikan bantuan selepas pelanggaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top