Pemandu remaja sebabkan kematian 5 orang akan ditahan

Pemandu remaja sebabkan kematian 5 orang akan ditahan

mdroji@bh.com.my

Kuching: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta Proton Saga hingga menyebabkan lima terkorban dalam kemalangan di Jalan Teo Kui Sing-Stutong Baru, di sini, semalam akan ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, remaja terbabit kini masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana cedera di dagu, kedua belah tangan dan kaki kanan.

“Ketika ini dia masih di dalam wad. Kita tunggu dia dibenarkan keluar dulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Farhan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Menurutnya lagi, siasatan mengambil kira pelbagai sudut termasuk tindakan terhadap mereka yang membenarkan remaja terbabit memandu kereta walaupun dia tidak memiliki lesen.

Ketika kejadian, remaja terbabit membawa tiga penumpang termasuk dua rakan sekolahnya.

Kedua-dua rakannya yang berusia 16 tahun maut dalam kejadian itu, manakala seorang lagi penumpang iaitu wanita berusia 20 tahun cedera parah.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari semalam, kereta yang dipandu remaja itu dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh dua kereta dan dua motosikal.

Akibat rempuhan, dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 36 tahun dan lelaki berusia 42 tahun yang menaiki kereta Proton Saga serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa iaitu lelaki yang memandu Toyota Altis dan penunggang motosikal, masing-masing berusia 51 tahun selamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah mengingatkan orang awam agar menghentikan penularan gambar serta video di lokasi kejadian.

Menurutnya, orang ramai harus menjaga perasan keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top